Beberapa kejadian yang berlaku di hadapan kami pada sebilangan anak-anak tetamu agak menakutkan. Ada anak yang menjerit-jerit melawan ibubapanya sewaktu bertamu. Ada yang ‘tidak makan saman’. Walaupun ibu bapa sudah menjerkah mereka dengan nada suara yang amat tinggi, anak-anak tetap meneruskan perlakuan yang tidak diingini.
Ada yang membuka pintu-pintu bilik dan kenderaan sesuka hati, ada yang meramas buah yang disajikan, ada yang berlari kesana ke mari depan orang tua, ada yang memanjat kerusi meja dan sebagainya. Kami amat mengerti perasaan ibubapa itu kerana sebahagian kami juga pernah mengalaminya sebelum ini.
Dalam satu kes, ada anak berusia sekitar 6-7 tahun mengherdik bapanya dengan perkataan ‘bapak bodoh’. Apabila ibunya bangkit menengking sepantas kilat terbit kata-kata ‘emak babi’. Bapa saudaranya yang tidak tahan melihat kelakuan itu terus sekuatnya menghempuk kepala budak itu dengan telefon sampai membuatkan kami tercengang. MasyaAllah.. anak itu boleh mati dihentak.
PEDOMAN MENDIDIK ANAK DI AWAL USIA
Melihat kepatuhan ‘kebanyakan’ anak-anak RPWP (belum semuanya), ramai ibubapa bertanya apakah rahsianya sehingga anak-anak pelbagai peringkat umur seramai itu boleh dibentuk akhlaknya. Kami hanya mampu katakan kami cuba ikut apa sahaja pedoman dari alquran dan sunnah.
Antaranya, Alquran mengajarkan agar anak-anak diajar menggunakan pendengaran, pengelihatan dan hati. Ajar anak menghormati ibubapa dan orang yang lebih tua. Allah haramkan seorang anak dari membantah ibubapa walau dalam apa jua bentuk, waimah berkata ‘ahhhh’ sekalipun. Bagi kami apabila anak tidak menyahut panggilan dengan pantas, atau menyahut dengan acuh tak acuh juga sudah dikira membantah. Apatah lagi jika dipanggil tidak datang, disuruh tidak mahu pergi. Itu semua termasuk dalam katagori berkata ‘ah’ bagi kami.
Antara contoh sunnah pula ialah pesan Nabi SAW agar kita ajar anak dari buaian hingga ke liang lahad. Maknanya, pendidikan anak harus bermula awal, sebelum mereka mumayyiz lagi. Jika kita lambat mengisi jiwanya, maka fahaman jahat (regime syaitan) akan cepat merasuk dan mengambil tempat. Kerana itulah kita disaran memperdengarkan seruan Allah yang diritualkan melalui azan oleh si ayah sebaik sahaja mereka lahir, diteruskan pula dengan alunan naluri tasbih, tahmid, tahlil dan selawat oleh ibu.
PENDIDIKAN DAN KASIH SAYANG - TANGGUNGJAWAB KHUSUS TERHADAP ANAK YATIM
Sebenarnya kebanyakan anak-anak yang diserahkan kepada kami juga membawa pelbagai kerosakan akhlak. Hakikatnya apabila kematian bapa, maka kebanyakan anak-anak yatim akan kehilangan pengatur atau murobbi walaupun sebahagian mereka mendapat cukup sara hidup.
Ada di kalangan anak yatim ini awalnya berkemampuan dan ada harta tinggalan ibubapa mereka. Sebahagiannya mendapat simpati masyarakat melalui sumbangan derma yang banyak, terutamanya apabila kematian ibubapa mereka itu agak sadis dan mendapat liputan meluas. Namun dek kerana tiada bimbingan, maka dengan sekelip mata harta tinggalan ibubapa atau sumbangan orang ramai itu sendiri telah membuatkan mereka semakin liar dan membuatkan mereka diherdik.
Itulah tanggungjawab khusus yang telah Allah wajibkan kepada semua yang mahu mengaku beragama dengan agama Allah. Kerana itu dalam surah al-Ma’un, Allah sebut tentang ‘membiarkan’ atau ‘mengherdik’ anak yatim. Bagi anak yatim yang terlantar atau miskin, maka tanggungjawab kita juga termasuk membantu mereka dalam soal makan minum.
Ironinya, kebanyakan dari masalah akhlak anak-anak ini jelas dapat kami kesan bermula dari awal, iaitu semasa ibubapa mereka masih hidup lagi. Kes yang kami sebut di atas tadi adalah salah satu daripadanya, iaitu kerosakan akhlak seawal itu dilihat di hadapan ayah ibu kandung mereka sendiri.
Antara bukti lain ialah apabila ditanyakan pada mereka bila mula merokok, mula meliwat atau sodomy, mula melihat video lucah, hisap dadah, minum arak, bergaduh dan sebagainya, maka ada anak seumur 9-12 tahun yang mengaku telah mula melakukannya sejak darjah satu. Padahal bapanya baru meninggal setahun lalu.
Ada yang mengaku pernah melakukannya bersama abang kandung, ada yang kata pernah melihat video lucah melalui telefon atau komputer bapanya, ada yang melihat sendiri bagaimana abangnya meniduri teman wanita ketika ibubapa tiada di rumah, bahkan melihat senggama ibubapanya, ada yang dipengaruhi rakan sekolah dan macam macam lagi.
Kerana perintah Allah itulah maka kami cuba sedaya upaya untuk memulihkan apa sahaja tahap kerosakan akhlak anak-anak ini seperti anak sendiri. Bukan sekadar menternak mereka. Selepas akhlak mereka terbentuk, barulah kami cari jalan untuk memajukan akademik mereka bersama pihak sekolah.
Namun begitu ada juga sebahagian yang terpaksa kami ambil alih sepenuhnya dari pihak sekolah. Ini kerana pihak sekolah ada banyak urusan untuk menangani anak-anak murid yang ramai sedangkan anak-anak yatim ini memerlukan perhatian khusus dan sepenuh masa untuk memulihkan semula akhlak mereka.
Untuk kes-kes berat, maka kami terpaksa tumpukan pada pemulihan akhlak. Kami persiapkan mereka dengan bidang pendidikan agama melalui pengajian tahfiz dan bidang iktisas di RPWP sahaja. Ini kerana kami tidak mahu mereka yang sudah tidak minat belajar ini menggunakan masa belajar di sekolah untuk berkeliaran. Ini akan menjadikan mereka semakin rosak bahkan boleh merosakkan orang lain di sekolah.
BILA GAGAL MENDIDIK DARI AWAL, KITA AKAN SIBUK MEMBAIK PULIH.
Kepada ibubapa yang bertanyakan tips untuk menghindari masalah kerosakan akhlak dari peringkat awal ini, ingin kami rujuk kepada sunnah rasulullah SAW seperti di atas. Kami gunakan fasa 7 yang berulang dengan menekankan pembangunan sahsiah anak-anak sahaja dahulu pada 7 tahun pertama.
Kami cuba bimbing mereka agar jadi mumayyiz dengan betul di peringkat awal. Ini kerana ramai anak-anak yang terbiar telah menjadi ‘mumayyiz’ dengan cara yang salah. Perkara buruk mereka anggap baik dan begitulah juga sebaliknya. Mereka banyak terdedah dan telah terlanjur ‘meniru’ contoh yang salah namun mereka rasakan itu ‘betul’.
Anak-anak kecil di bawah umur 7 tahun tidak terlalu kami tekankan dengan pembelajaran kalam, atau teks dalam bilik darjah. Kami banyakkan pembelajaran alam dengan melatih mereka menggunakan fungsi pendengaran, pengelihatan dan hati sepertimana arahan Allah dalam quran.
Antara kaedahnya ialah melalui latihan pergaulan dan tolong menolong. Kami campurkan mereka dengan rakan sebaya yang telah terbina sahsiahnya agar mereka dapat mengikuti contoh yang baik dan menerima ‘standard’ akhlak dari jemaah rakan sebaya mereka. Sementara itu kami jadikan rakan sebaya yang sudah agak baik akhlaknya untuk mendampingi dan mengapit mereka, melapurkan kepada kami beberapa kali sehari akan segala salah laku yang berlaku untuk kami kenalpasti dan perbaiki.
KESAN BUDAYA MENJERKAH DAN MENENGKING ANAK DI PERINGKAT AWAL
Budaya ini adalah antara kesilapan besar yang dapat kami kesan dari kajian dan pengalaman kami. Selain dari itu penerapan ‘rule and regulation, boundary and limitation’ juga amat penting. Ramai ibubapa membiarkan habit anak yang berkeliaran tanpa sebarang tegahan, tanpa menyediakan batas dan sempadan, tanpa menerangkan dengan bahasa mudah tentang pengatur dan aturan.
Lebih parah lagi apabila anak-anak ini melihat contoh buruk dari habit ibubapa dan keluarga sendiri serta manusia di sekitarnya. Mereka sering melihat ibubapa menjerkah dan menengking orang tua mereka, isteri menengking suami, kakak menengking abang dan sebagainya.
Di peringkat awal pembangunan sahsiah, kanak-kanak hidup dengan pengaruh semasa (live in moment). Mereka belajar dari apa yang mereka lihat dan apa yang mereka dengar. Menumpukan kepada pembelajaran teks dan angka akan memakan masa mereka yang seharusnya digunakan untuk membentuk sahsiah di peringkat itu.
Apabila akhlak mereka terabai, maka kerosakan itu akan bertambah hari demi hari. Akhirnya ibubapa jadi kelamkabut untuk membentuk mereka. Ini menjadikan ibubapa kurang sabar dan meluat dengan perangai mereka.
Satu-satunya pilihan yang ada ialah dengan meninggikan suara atau menghukum mereka dengan ganas. Jika ibubapa masih boleh sabar, amah, pengasuh atau guru pula tidak mampu sabar. Maka banyaklah kes anak yang didera guru dan pengasuh sampai ramai yang maut atau cedera.
KESIMPULAN
Apa yang kita beri, itulah yang akan kita dapat. Dekatkanlah diri kita pada anak sejak ia lahir mengikut keperluan. Jangan kelek anak sepanjang masa ketika ia bayi kerana itu akan memanjakan mereka. Ajar bayi kita berdikari sejak awal. Tetapi harus letakkan mereka di jarak yang mampu kita pantau dengan mata dan telinga.
Ibu khususnya harus sensitif dengan tangisan anak. Jangan biarkan anak menangis lebih dari 10 saat tanpa telinga kita mengesannya. Sebelum anak itu pandai berkata-kata, tangisan itu adalah bahasa komunikasi mereka dengan kita. Jika dapat secepat itu kita layani panggilan mereka insyaAllah mereka tidak akan meninggikan nada tangisan mereka untuk seolah-olah menengking kita.
Demikian juga fungsi mata. Sentiasalah perhatikan gerak geri bayi kita. Jika ia merangkak atau berjalan ke tempat yang tidak dapat kita lihat, apatah lagi menuju ke tempat bahaya, maka segera tegah dan panggil mereka. Tunjuk bahasa badan atau memek muka tanda marah jika mereka enggan.
Jika akhlak anak sudah terbentuk, kemajuan akademik akan berjalan sendiri. Namun jangan pula biarkan mereka dipengaruhi dengan persekitaran yang buruk. Ibubapa juga jangan tengking menengking atau bergaduh depan anak. Sebaiknya jangan langsung diamalkan budaya itu sama sekali walaupun di belakang anak.
Para isteri harus tunjukkan budaya patuh dan redha pada suami depan anak-anak. Sesuai dengan sifat nisak, sentiasalah berkata lembut, berwajah manis dan banyakkan memohon maaf atau istighfar pada suami, khasnya jika suami anda jenis yang beriman dan matang.
Jika suami memang jenis ganas dan bersifat Fir’aun, banyakkan bersabar dan mengalah. Janganlah suka melayan berang suami. Matikan perbalahan dengan meninggalkan suami yang sedang berang dengan cara yang baik. Nasihati anak agar memaafkan bapa yang tidak berakhlak agar anak tidak meniru sifat itu. InsyaAllah anak anda akan tetap terbentuk dan ia bakal jadi penawar apabila besar kelak, sekalipun anda terpaksa bercerai dengan suami anda yang macam Firaun itu.
Jika terpaksa memarahi atau menghukum anak di bawah 7 tahun, jauhi nada tinggi. Banyakkan berbicara dengan bahasa yang mudah mereka faham untuk menerapkan sikap yang ingin kita bentuk. Cuba usahakan agar menghukum dengan wajar jika mereka buat salah. Jika perlu memperkenalkan rotan pun, lakukanlah dengan tenang dan senyum. Beri penjelasan mengenai kelakuan yang anda tidak suka.
Itu semua akan mengajar mereka untuk menjadi orang yang sensitif dan rasional. Ajar mereka berinteraksi penuh adab dengan kita dan sesama mereka. Banyakkan berbicara dengan anak, sekali sekala bergurau dan melawak bagi mengajar mereka keperluan untuk senyum, marah, suka dan duka dalam kehidupan. Bagi yang belum berkesempatan, link video berikut mungkin dapat memberikan sedikit gambaran.
http://prihatin.net.my/v3/2013/09/09/parenting-tips-11-supplement-video-ijal-toya-kena-rotan/
http://prihatin.net.my/v3/2013/09/09/parenting-tips-11-membangunkan-anak-dari-tidur/
Semuga bermanfaat. Selamat mencuba.
Tips parenting
WARGA PRIHATIN
good job :)
ReplyDelete