Solat Hajat Berjemaah Menjelang Peperiksaan?
Berikut, kita rujuk terlebih dahulu dalil-dalil berkaitan solat hajat,
Adapun solat al-haajah, bagi mereka yang menganggapnya sunnah maka biasanya mereka akan berdalilkan hadith-hadith berikut:
a. Dari 'Abdillah ibn Abi Aufa meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada seseorang makhluqNya, maka hendaklah dia berwudhu' dengan mengelokkan-wudhu'nya dan bersolat dua raka'at, dan kemudiannya memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW lalu hendaklah dia membaca do'a ini. La Ilaha IIIAIIah al-Halim al-Karim, SubhanAllah rabb al-'Arsh al-'Adzim (du'a ini tidak disalin semua)" [at-Tirmizhiyy, Kitab as-Solah, Ma jaa'a fi solaah al-haajah] (Dho'if sunan at-tirmizhiyy, no. 73)
Hadith ini dimasukkan oleh Imam Ibn al-Jawzi di dalam kitabnya al-Maudhu'at (iaitu hadith-hadith palsu) akan tetapi ia dihukum oleh Shaykh al-Albani dalam Dha'if Sunan Tirmizi sebagai sangat dha'if. Ini adalah kerana di dalam silsilah perawi hadith ini ada seorang yang bernama Faid bin Abd al-Rahman. Dia sangat dha'if, dikatakan Munkar al-Hadith oleh Imam al-Bukhari, Matruk (Ditinggalkan hadithnya tanpa ber'amal dengannya) oleh Imam Ahmad, Dha'if oleh Yahya ibn Ma'iin,
Hadit Kazhib (Hadithnya Bohong) oleh Abu Hatim al-Razi. Maka hadith ini tidak boleh dijadikan hujjah pensyari'atan solat hajat.
b. Dari 'Abdillah bin Abi Awfa al-Aslamiy bahawa satu hari telah keluar kepada kami Rasulullah SAW maka baginda bersabda,
"Barangsiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada seseorang makhluq-Nya, maka hendaklah dia berwudhu' dengan mengelokkan wudhu'nya dan bersolat dua raka'at, dan (perhatikan perbezaan matan hadith ini dengan yang sebelumnya, di mana di dalam hadith ini tiada terdapat suruhan agar memuji Allah dan berselawat di atas junjungan Rasulullah SAW) kemudiannya hendaklah dia membaca du'a ini. La Ilaha IIIAIIah al-Halim al- Kariim, SubhanAllah rabb al-'Arsh al-'Aziim (du'a ini tidak disalin semua) kemudian dia meminta dari Allah akan hal-hal dunia dan akhirat, apa sahaja yang ia kehendaki, Sesungguhnya Dialah yang menentukan (ini juga merupakan penambahan di dalam riwayat yang sebelum ini)" [Ibn Majah, Kitab Iqamah as-Solah wa as-Sunnah fiiha, Ma jaa'a fi solah al-haajah] (Dho'if sunan ibn maajah, 293).
Hadith ini juga terdapat penyakit iaitu Faid bin Abd al-Rahman sebagaimana yang sebelumnya. Maka hadith ini juga tidak sah dijadikan hujjah.
c. Dari Abi Ad-Darda' RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang berwudhu' lalu diperelokkan wudhu'nya, kemudian dia menunaikan solat 2 raka'at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa yang dimintanya, sama ada cepat atau lambat (hadith ini tidak diterjemah sepenuhnya)" [Ahmad, Musnad al-Qoba'il]
Hadith ini pada silsilah periwayatnya ada seorang yang bernama Maimun atau Abu Muhammad al-Mara'ii at-Tamimi, seorang yang majhul yang tidak diketahui siapakah gerangannya oleh 'ulama' hadith. Malah di dalamnya juga ada Yahya ibn Abi Kathir. Beliau adalah thiqah tetapi kekadang dia meriwayatkan hadith secara mudallas dan kekadang dia meriwayatkan hadith dengan terputus sanad (Mursal). Jadi terdapat satu perawi yang majhul dan satu lagi yang ada mempunyai kes-kes yang tidak enak di dalam meriwayatkan hadith. Jadi, ia juga dho'if lalu tidak boleh dijadikan hujjah.
d. Dari 'Uthman bin Hunaif RA, bahawa telah datang kepada Rasulullah SAW seorang yang buta matanya seraya berkata, “Ya Rasulallah! Doakan kepada Allah untuk saya supaya Dia menyembuhkan saya.” Rasulullah SAW bersabda, “jika engkau mahu, (doakan segera) maka akan aku doakan untukmu dan jika kamu mahu kamu boleh bersabar dan ianya (bersabar) lebih baik bagi kamu.” Lelaki itu menjawab, “Doakanlah!” Maka Rasulullah SAW menyuruhnya supaya berwudhu' dengan elok lalu bersolat dua raka'at dan berdoa dengan doa ini, “Allahumma Inni asaluKa wa atawajjahu ilaika binabiyyika Muhammad Nabiy ar-rahmah. Inni tawajjahtu bika ila rabbi fi hajati hazihi lituqdha liyy. Allahumma fashaffi'hu fiya” (Hadith Hassan Sahih Gharib) [al-Tirmizi: Kitab ad-Da'awat 'an rasulillah, fi du'aa' addho'iif, Ibn Majah: Kitab Iqamah as-Solah wa as-Sunnah fiha]
Hadith inilah merupakan hadith yang paling sohih dalam menjadikan hujjah sebagai pensyari'atan solat hajat. Akan tetapi do'anya tentulah tidak sesuai diamalkan kerana ia bersangkutan dengan tawassul kepada Nabi pada masa hidupnya.
Adapun sekarang, Rasulullah SAW telah pun wafat. Maka tidak boleh lagi bertawassul melalui baginda.
Jika dilihat dari hadith-hadith di atas, baik yang dha'if ataupun yang sahih, ia dilakukan sendiri oleh tuan empunya hajat. Rasulullah SAW, walaupun pada ketika itu masih hidup dan ada bersama lelaki yang buta itu, akan tetapi baginda tetap tidak mendirikan solat itu bersama-sama dengannya malah baginda menyuruh si buta itu sendiri sembahyang untuk memohon hajatnya kepada Allah secara langsung. Cuma do'anya sahaja bertawassulkan kepada Rasulullah SAW (ketika hidup) sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sendiri.
Solat ini di dalam mazhab Syafi'ie diletakkan di bawah solat naafil (sunnat) yang didirikan secara individu. Solat nafil yang didirikan secara berjama'ah adalah seperti Solat 'lid al-fitr dan Solat 'Id al-Adha (solat raya), solat Istisqo' (solat minta hujan) serta solat gerhana. Solat al-haajah ini tidak diletakkan di bawah solat nafil yang dilakukan secara berjama'ah dan seelok-eloknya ia dilakukan secara individu.
Demikianlah yang diketahui dan diajar oleh para 'ulama' zaman-berzaman. Manusia yang paling hebat diuji oleh Allah adalah para Nabi-nabi 'alayhimussolatu wassalam sesuai dengan sabdaan Nabi dalam sebuah hadith yang sohih: "Sesungguhnya di antara sedahsyat-dahsyat manusia yang diberi balaa' (ujian) adalah para anbiyaa', kemudiannya adalah orang yang selepasnya (dari segi keimanan) dan kemudian adalah yang selepasnya." (Riwayat Ahmad) (Majma' az- Zawwa'id) ( Silsilah al-ahaadith as-sahiihah 145, 3267, 1165) [diriwayatkan hadis ini juga
oleh beberapa perawi lain dengan lafaz yang sedikit berbeza]
Nabi Muhammad saw dan para sahabat sendiri telah melalui pelbagai keadaan di zaman mereka seperti:
a) Peristiwa penyiksaan ke atas Bilal, Khabbab dan para sahabat yang lain.
b) Pemboikotan ekonomi ke atas kaum Muslimin
c) Kejadian ba'iah ridhwan selepas 'Uthmaan tidak pulang ke pangkuan kaum Muslimin.
d) Berpuluh-puluh misi ketenteraan
e) Peristiwa hadith al-ifk yang menimpa 'Aisyah
f) Peristiwa pengepungan ke atas kota Madeenah oleh tentera Ahzaab
g) Peristiwa pembunuhan 'Uthman
h) Peristiwa perang saudara di antara Mu'awiyyah dan 'Ali
Walaupun terdapat begitu banyak dugaan dan cabaran yang menimpa kaum Muslimin di zaman para Nabi dan sahabat namun tidak pernah sekali pun kita mendengar Nabi saw atau para sahabat-sahabatnya menganjurkan solat haajah sebagaimana yang dibudayakan oleh kebanyakan orang Melayu pada hari ini. Di sesetengah masjid di Negara kita, hampir tiap-tiap malam diadakan majlis solat haajah ini untuk pelbagai sebab yang mendatang. Ini tidak lain adalah rekaan dalam 'ibadah yang semua kaum Muslimin perlu menghindarinya. Sesungguhnya yang terbaik itu adalah dalam mengikuti Sunnah dan menjauhi bid'ah.
http://ratu-syahadah.blogspot.com/2009/11/solat-hajat-berjemaah-menjelang.html
No comments:
Post a Comment